Sunday 15 January 2012

UCAPAN PENGERUSI AJK PENAJA SEMPENA PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERMULAAN KOPERASI KHALIFAH JIWA SELANGOR BERHAD

Bismillahirrahmanirrahim.Terima kasih puan pengerusi majlis, yang juga setiausaha ajk penaja Koperasi Khalifah Jiwa Selangor Berhad, yang telah berusaha keras bersama-sama ajk yang lain, bagi memastikan program pada petang yang berbahagia ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas penglibatan anda semua pada petang ini dan saya amat berbesar hati. Yang saya muliakan Dr. Azmi Haron, Pengarah Jabatan Alumni dan Khidmat Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang berusaha En. Erwin, pegawai bertugas dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, rakan-rakan ajk penaja seterusnya sahabat-sahabat bakal anggota Koperasi Khalifah Jiwa, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

RAHSIA KHALIFAH JIWA

Mengapa Koperasi Khalifah Jiwa? 3i (Islam, Iman dan Ihsan. Formula kejayaan hakiki dan abadi. Menyingkap rahsia kecemerlangan sebenar dunia dan akhirat). Saya nak kongsikan cerita 3i ini kepada semua sahabat-sahabat semua. Inilah asas penubuhan koperasi ini. Buku inilah yang melembutkan hati saya yang agak keras, membuat saya berfikir. Kalaulah kebaikan dan ilmu yang saya dapat ini, yang saya alami ini, yang telah mengubah cara saya melihat diri saya, menukar paradigma hidup saya ini, saya kongsikan, alangkah beruntungnya kita semua. Dari itu, saya berusaha untuk berjumpa penulis yang juga isteri tersayang kepada rakan sebilik di UIAM dulu dan berbincang. Pertemuan dengan Dr. Sakinah Salleh dan suami, En. Alwi Mohd Yunus mencetuskan idea penubuhan Koperasi Khalifah Jiwa yang mana buku 3i ini akan menjadi teras dalam penyebaran ilmu pengetahuan untuk faedah semua. Dr. Sakinah juga bersetuju untuk menulis sebuah buku lagi untuk kita gunakan sebagai tunjang modul Khalifah Jiwa yang menfokuskan kepada Ihsan, jalan menuju Khalifah Jiwa. Penerbitan ini juga akan diisi dengan kartun-kartun oleh seorang kartunis yang tak asing lagi, juga alumni UIAM, En. Tembakau aka Azhar Ahmad. Seterusnya pembentukan AJK Penaja untuk terus mengembangkan agenda penubuhan Koperasi Khalifah Jiwa sehingga ke hari ini. Kami juga telah berusaha untuk berbincang dengan beberapa institusi dan syarikat yang turut menyokong usaha mengenengahkan Konsep Khalifah Jiwa ini, yang kita harapkan nanti, sokongan ini diterjemahkan kepada nilai ringgit malaysia, yang akan kita gunakan untuk menerbitkan buku Khalifah Jiwa tadi, menerbitkan 13 episod siri TV Khalifah Jiwa, mengemaskinikan modul-modul sokongan dan seterusnya membuat berbagai promosi bagi menjayakan usaha murni ini.

Kita juga merasakan perjalanan ini harus dimulakan dari usia awal. Oleh itu, melalui Pusat Pendidikan Khalifah Jiwa, kita merancang untuk turut serta dalam system franchise Tadika CIC (Children Islamic Centre) dan juga Al-Baghdadi Learning Cenre yang mengkhususkan pembelajaran Al-Quran yang praktikal.

VISI, MISI DAN PERANAN

Koperasi Khalifah Jiwa merupakan platfom penting kepada perancangan yang sedang dibentuk, struktur yang akan sedaya upaya memberikan kita semua anggota manfaat pada masa akan datang. Sebagai metafora, fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari keberkatan dan rezeki. Kita memerlukan bumbung – yang merangkumi kesemua bahagian binaan rumah ini. Dalam situasi ini, visi Koperasi Khalifah Jiwa merupakan bumbung tempat kita sama-sama berteduh. Misi Koperasi Khalifah Jiwa pula – adalah merupakan empat tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas yang menggambarkan pengorbanan kedua ibubapa kita, EMAK khususnya, iaitu Efektif, Maju, Amanah dan Komited. Dan lantainya, asas di mana kesemua anggota terus bergerak ke hadapan adalah semua aktiviti-aktiviti yang dirancang yang memerlukan penglibatan semua anggota yang akan menggunakan segala kepakaran masing-masing.

‘Memantapkan Ilmu Pengetahuan Ke Arah Kemajuan Diri Dan Negara Dengan Menggunapakai Prinsip EMAK’, adalah visi atau bumbung bagi Koperasi Khalifah Jiwa, merupakan aspirasi dan halatuju yang akan dikongsi bersama bagi semua bakal anggota. Ia juga bertepatan dengan misi atau tiang seri Koperasi Khalifah Jiwa. 

Misi 1: KOPERASI KHALIFAH JIWA akan mengunakan segala sumber yang dimiliki secara EFEKTIF untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti. 

Misi 2: KOPERASI KHALIFAH JIWA beriltizam untuk MAJU menerusi pencapaian prestasi kewangan, kepimpinan dan keanggotaan yang teguh. 

Misi 3: KOPERASI KHALIFAH JIWA akan berusaha memenuhi AMANAH dengan melaksanakan program-program yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota

Misi 4: KOPERASI KHALIFAH JIWA KOMITED untuk berkongsi pulangan dari sumber yang berteraskan syariat Islam

Kita mengalu-alukan ketibaan tahun 2012. Namun, sementara dunia dan negara kita masih merasai kesan kemelesetan ekonomi, kita enggan dan tidak mahu hanya menjadi pemerhati pasif semasa kemelesetan ini melanda, justeru kita telah memilih untuk berada di sini menyokong penubuhan Koperasi Khalifah Jiwa, yang mana akan berperanan sebagai pengurus, pemangkin, penghubung dan pelaksana. PENGURUS kepada hasil dana terkumpul dari keuntungan aktiviti perniagaan, sumbangan mahupun yuran anggota, PEMANGKIN kepada usaha-usaha perniagaan anggota termasuklah penyumbang modal, penasihat dan peserta, PENGHUBUNG dalam merapatkan persaudaraan sesama anggota dan keluarga, dan PELAKSANA kepada aktiviti-aktiviti kebajikan dalam usaha membentuk insan menjadi umat terbaik.

Aktiviti tulang belakang Koperasi Khalifah Jiwa yang menekankan semangat kepimpinan akan ditambah baik secara berterusan untuk melahirkan anggota yang cemerlang dan komited dari segi pemikiran kreatif dan strategik serta kemahiran keusahawanan dan kepimpinan yang akan memacu kejayaan Koperasi Khalifah Jiwa pada dekad yang mendatang. Oleh itu Pusat Kepimpinan Khalifah Jiwa akan Menyediakan, menyusun dan menerbitkan KONSEP KHALIFAH JIWA sebagai satu Jenama/Produk, yang mana produk ini akan dikembangkan kepada modul-modul kursus, siri televisyen dan aktiviti-aktiviti kebajikan yang akan menjana pendapatan kepada Koperasi. Konsep pemasaran termasuklah melalui kaedah media massa, ICT dan capaian individu (word of mouth).

Aktiviti-aktiviti lain termasuklah Pusat Pendidikan Khalifah Jiwa, menjalankan program Tadika CIC dan aktiviti belajar Al-Quran dan Fardhu Ain, Pusat Industri Perikanan Khalifah Jiwa mengusahakan kolam-kolam ikan secara komersial dan moden, Pusat Industri Halal Khalifah Jiwa memfokuskan pemprosesan dan pembungkusan makanan untuk pasaran halal, Pusat eMuamalat Khalifah Jiwa menyediakan khidmat peruncitan dan pengedaran maya dan Projek Usahawan Mikro menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan bertindak sebagai Penyumbang Modal kepada perniagaan anggota 

Brothers and sisters,

CABARAN YANG DIHADAPI

Walaupun begitu, perjalanan yang akan kita mulakan ini amat panjang. Sebagai AJK Penaja – dan pengerusi – aspirasi kita untuk mencapai visi dan misi, memerlukan perancangan rapi dan memerlukan sokongan dan galakan dari semua anggota. Justeru, segala usaha yang akan dilaksanakan akan menjadi sia-sia sekiranya anggota tidak mahu berperanan dan turut serta memajukan Koperasi Khalifah Jiwa ini. Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh merupakan pra-syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan di dalam Koperasi Khalifah Jiwa. Saya bersama-sama AJK Penaja akan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membangun serta melaksanakan agenda serta perancangan yang digariskan untuk Koperasi Khalifah Jiwa terus berkembang, untuk menjayakan aktiviti-aktiviti seterusnya meningkatkan kepentingan ekonomi anggota dan yang paling utama untuk mengeratkan silaturrahim anggota yang majoritinya adalah alumni UIAM dan keluarga melalui kaedah perniagaan.

Brothers and sisters,

Dalam mengubah pendekatan dengan mengambilkira cabaran-cabaran mendatang, ia memerlukan kita untuk mengubah mana-mana pemikiran atau paradigma kita yang kurang berkesan. Paradigma ini atau cara kita melihat sesuatu atau sistem kepercayaan (belief system) dalam diri. Seperti contoh Nabi kita, Muhammad Rasullullah SAW telah berjaya mengubah sistem kepercayaan masyarakat Mekah pada waktu itu dari penyembahan berhala kepada sujud kepada Allah Yang Maha Esa. Dalam jangka masa pendek, tentu akan ada tentangan dalam diri yang hebat. Rasullullah SAW pun menerima tentangan yang amat hebat. Namun, bagi membina kekuatan jiwa, kita tidak boleh berterusan membelakangi isu kepercayaan diri ini. Buanglah sifat-sifat negatif yang tidak membantu, isikan jiwa kita dengan sifat-sifat positif yang mampu membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Itu cara kita melihat diri. Bagaimana pula cara kita lihat dunia ini, hidup ini, manusia lain, semuanya akan menentukan cara kita membawa peranan di atas dunia ini seterusnya menentukan darjat kita di akhirat nanti. Inilah antara intipati Konsep Khalifah Jiwa yang akan Pusat Kepimpinan Khalifah Jiwa kembangkan. Yang akan kita serapkan disetiap modul latihan samaada berbentuk pendidikan, motivasi, teknikal mahupun kepimpinan itu sendiri.

Jadi saya nak mengajak bakal anggota semua berkongsi kepakaran dan pengalaman untuk kita membantu Koperasi Khalifah Jiwa ini mengembangkan ilmu pengetahuan kepada sesiapa saja sahabat-sahabat kita yang lain disamping kita mencipta rezeki dan keuntungan buat bekalan kita di dunia ini. Tetapi harus kita ikhlaskan diri agar segala usaha kita ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah jua untuk bekalan kita di akhirat juga.

Brothers and sisters,

PENUTUP 

Kita memerlukan ‘dorongan kuat’ yang mapan dan konsisten supaya perubahan besar hari ini menghasilkan arus momentum yang semakin kuat dan membantu mencapai matlamat kita. Saya menyeru bakal anggota untuk terus berganding bahu dengan saya dalam perjalanan bersejarah ini untuk membina Koperasi ini untuk kita kongsikan segala yang perlu demi keuntungan dunia mahupun akhirat. 

Dengan ini saya ingin mengucapkan berbanyak ucapan terima kasih kepada Rektor UIAM, Prof. Dato' Sri Dr. Zaleha Kamarudin yang memberi galakan kepada saya dan ajk penaja untuk meneruskan niat menubuhkan koperasi ini, juga kepada Dr. Azmi Haron pengarah Alumni UIAM, yang banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar serta sokongan kepada kami, Dekan Pusat Asasi UIAM, juga En. Erwin selaku pegawai dari SKM, rakan-rakan ajk penaja dan sahabat-sahabat bakal anggota semua, jutaan terima kasih.

Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.